Sabtu, 13 Februari 2010

Ahli Perkasa, UMNO serah memorandum kepada MB Selangor



Ahli Perkasa, UMNO serah memorandum kepada MB (sumber) klik biru

SHAH ALAM – Hampir 1,000 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) dan UMNO Selangor berhimpun dan berarak ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, semalam untuk menyerahkan memorandum berhubung isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada Kerajaan Negeri.

Kira-kira jam 2.15 petang semalam, peserta mula berkumpul selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum berarak ke arah pintu masuk Bangunan SUK.

Selain berarak sejauh lebih satu kilometer, peserta turut melaungkan kata-kata “Hidup Melayu” dan “Daulat Tuanku” sebelum berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan itu.

Antara isi memorandum berkenan termasuk mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menyalah guna peruntukan kanun tanah berhubung isu tapak kampus Universiti Tekonologi Mara (UiTM) di Serendah, dekat sini.

Tindakan Khalid memulangkan bayaran cukai tanah RM5.4 juta yang tertunggak kepada YBK juga dilihat sebagai satu cara Kerajaan Negeri merampas tanah dan hak YBK yang diberikan kepercayaan untuk membangunkan kampus berkenaan sebelum ini.

Memorandum kemudian diserahkan kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad di pintu pagar Bangunan SUK oleh Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus.

Turut serta dalam perakan penyerahan berkenaan ialah Presiden Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali dan Yang DiPertua Perkasa Selangor, Abdullah Mansur.

Abdul Shukor yang ditemui berkata, tindakan Khalid itu dilihat sebagai satu tindakan balas dendam setelah permintaannya untuk menerajui YBK ditolak baru-baru ini.

“Kita akan tentang perkara ini habis-habisan demi kepentingan orang Melayu terutamanya penduduk di Hulu Selangor. Tindakan beliau (Khalid) juga amat merugikan rakyat Selangor secara amnya.

“Ini merupakan satu bentuk kezaliman kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Kita mahu hak tanah berkenaan dipulangkan semula pada YBK,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, perarakan dan perhimpunan semalam menggambarkan perasaan rakyat yang membantah sikap angkuh dan sombong Kerajaan Negeri kerana tidak menerima bayaran cukai tanah dibayar YBK itu.












0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama